Thursday 2 April 2009

Hukum Tarikan Berteraskan Quran

"Dialah yang menjadikan bumi untuk kamu yang mudah dijelajahi, maka jelajahilah di segala penjurunya dan makanlah sebahagian daripada rezekinya. Dan hanya kepadaNyalah kamu (kembali selepas) dibangkitkan." (Surah al-Mulk, ayat 15).
Dimana hukum tarikan dalam ayat diatas? Perhatikan ayat yang berbunyi, dialah yang menjadikan bumi bagi kamu yang mudah dijelajahi. Kenyataan Allah itu dimulakan dengan fikiran positif. Allah memberi keyakinan kepada kita yang hidup ini mudah. Kita tidak perlu berfikir mengenai kesusahan dalam hidup. Kita mesti yakin kehidupan ini mudah. Dengan pernyataan itu, getaran positif terpancar ke alam sekitar. Kemudian Allah menyambung ayat-ayat dalam Quran, Jelajahilah! Maksudnya, kita diperintahkan berusaha dengan penuh semangat ataupun dengan keceriaan iaitu kita yakin hidup ini mudah. Apabila kita mengaktifkan hasrat ataupun rasa ceria ketika berusaha mencari rezeki, bermakna kita mengizinkan kelimpahan rezeki memasuki hidup kita. Ini sesuai dengan hukum tarikan.
Sesudah kita berusaha sedaya upaya, Allah menutup ayat itu dengan sikap pasrah ataupun berserah kepadanya (tawakal). Kita semakin yakin mendapat banyak rezeki dalam hidup. Mungkin hari ini kita masih belum mendapat rezeki seperti yang kita harapkan. Namun, kita pasrah kepadanya dan percaya dia terus memberi kita rezeki dalam hidup. Kita hanya perlu yakin, berfikir positif, gigih berusaha dan berserah kepada Allah. Apabila tiba masanya, kita pasti mendapat kekayaan nikmat. Malah kita juga menjadi lebih bahagia dengan kekayaan itu.
Demikianlah sebahagian petikan yang terdapat didalam buku "Quranic Law of Attraction". Buku ini ditulis oleh seorang penulis muda Indonesia yang sedang meningkat naik ketika ini iaitu Rusdin S.Rauf. Dalam usia seawal 20an, beliau telah berjaya menghasilkan beberapa buah buku yang menarik. Dalam buku ini beliau telah menceritakan tenaga-tenaga yang terdapat dalam Quran, bagaimana Quran bertindak balas dengan keinginan kita dan bagaimana kita bertindakbalas dengan Quran. Syabas saya ucapkan kepada penulis kerana telah berjaya menghasilkan buku ini.