Monday 31 May 2010

Peranan Tenaga Positif Dalam Meningkatkan Potensi Manusia.

Seperti yang diketahui, manusia terdiri dari 2 elemen iaitu fizikal (jasad) dan roh (jiwa). Yang menjadi teras kepada manusia adalah roh (jiwa) yang berada didalam tubuh itu sendiri. Seperti juga fizikal manusia yang perlu diberi makan untuk memastikan ia tetap wujud dan sihat, roh (jiwa) juga begitu. Tubuh fizikal manusia dan roh (jiwa) kalau dapat diseimbangkan ia akan dapat meningkatkan potensi yang ada pada manusia.

Badan manusia adalah satu-satunya badan yang apabila dibentangkan habis-habis akan dapat dimuatkan dengan sempurna dalam sebuah bentuk empat segi (petak) dan bulatan. Bentuk empat segi melambangkan fizikal manusia dan bulatan melambangkan roh (jiwa) manusia. Untuk mencapai keseimbangan, kedua-dua bulatan dan petak ini perlu diselaraskan. Dengan itu potensi manusia akan muncul dan manusia akan dapat menguasai dan mengawal dirinya. Yang hendak kita selaraskan antara fizikal dan roh (jiwa) adalah berkenaan tenaga yang ada pada kedua-dua elemen tersebut. Sudah tentu tenaga yang perlu diselaraskan ialah tenaga baik (positif).

Didalam Islam ada hukum halal dan haram. Seperti yang kita tahu ada sesuatu yang boleh kita lakukan atau makan (halal) dan ada yang tidak boleh iaitu haram. Ada sesetengahnya pula dibolehkan dalam keadaan tertentu dan tidak boleh dalam keadaan tertentu sebagai contoh hubungan seksual ianya tidak boleh dilakukan sebelum kahwin dan apabila kahwin ia halal dilakukan oleh pasangan suami isteri.

Dalam konsep ilmu tenaga, halal dan haram mempunyai tenaga yang berbeza. Halal mempunyai tenaga yang positif (baik) dan haram mempunyai tenaga negatif (tidak baik). Dalam badan manusia terdapat cakra yang mempunyai peranan menyerap tenaga yang masuk, memproses dan menyalurkan kebahagian tertentu untuk kesejahteraan kepada manusia.Kalau tenaga yang masuk adalah halal (baik) maka akan membawa kesejahteraan, jika yang masuk adalah yang haram (tidak baik) maka ia akan merosakkan badan dan roh (jiwa) manusia.

Dalam hal ini peranan tenaga dan cakra kepada badan adalah amat penting. Untuk mengetahui lebih lanjut peranan cakra dan tenaga didalam badan manusia. Kita perlu mengetahui dan mengenal cakra yang ada didalam badan manusia. Terdapat 88 ribu cakra didalam badan termasuk 7 cakra utama iaitu cakra dasar, cakra sacral, cakra solar plexus, cakra jantung, cakra komunikasi, cakra ajna dan cakra mahkota. Disini hanya 5 cakra sahaja yang disentuh kerana ia memainkan peranan secara langung dengan tenaga baik dan tidak baik yang dibincangkan. Kita akan mulakan dengan cakra sacral hingga ke cakra mahkota.

CAKRA SACRAL - Cakra ini berada di bawah pusat dan melibatkan tenaga seksual. Tenaga ini hanya akan menghasilkan tenaga yang sihat (baik) apabila ia diperolehi dan digunakan dengan cara yang sesuai iaitu melalui perkahwinan.

CAKRA SOLAR PLEXUS - Cakra ini berada ditengah badan, ia melibatkan tenaga dalaman dan sebagai penyimpan tenaga kehidupan. Untuk membina tenaga kehidupan yang betul kita perlu makan makanan yang baik dan berkhasiat dan datang dari sumber yang halal.

CAKRA JANTUNG - Cakra ini berada didada, ia melibatkan rasa belas kasihan, cinta, penghormatan dan pemenuhan emosi. Untuk membina tenaga yang sihat dan betul, ia perlu melalui hubungan yang sihat, kasih sayang dan keamanan antara sesama.

CAKRA KOMUNIKASI - Cakra ini berada dikerongkong, ia melibatkan komunikasi dan peluahan diri. Untuk membina tenaga yang baik, ia perlu dilakukan melalui pesanan dan nasihat yang baik.

CAKRA MAHKOTA - Cakra ini terletak paling atas iaitu diatas kepala. Ia melibatkan kebijaksaan, gerak hati, kesedaran dan kerohanian. Untuk membina tenaga yang baik, ia perlu dilakukan dengan meningkatkan kesedaran rohani.

Melalui penerangan diatas, kita telah faham peranan tenaga dan cakra terhadap fizikal dan roh (jiwa) manusia. Hanya dengan menggayakan setiap cakra ini dengan tenaga kebaikan maka potensi sebagai insan yang baik akan dicapai.

Wallahuallam.