Thursday 12 May 2011

Pengijazahan Reiki

Sejak akhir-akhir ini, reiki makin dikenali. Jumlah orang yang belajar dan mendapat attunement reiki juga semakin meningkat. Kalau 5 tahun dulu, ketika mula-mula belajar reiki, agak jarang juga kedengaran orang belajar reiki. Alhamdulillah, reiki semakin makmur di Malaysia mungkin kerana promosinya semakin galak dilakukan oleh Master-Master Reiki di Malaysia.

Untuk belajar reiki dan menjadi pengamal reiki, seseorang itu perlulah melalui proses pengijazahan dahulu. Proses pengijazahan itu dipanggil attunement. Attunement adalah prosedur yang harus dilalui oleh seseorang untuk menjadi pengamal reiki. Attunement hanya boleh dilakukan oleh seseorang yang bergelar Master Reiki atau Reiki Teacher. Tapi sekadar bergelar Master Reiki, tidak semestinya seseorang itu mempunyai ilmu yang cukup. Seseorang itu mesti melalui sebuah perjalanan waktu yang lama dan tekun mengamalkan reiki baik kepada diri sendiri atau kepada orang lain. Lebih banyak diamalkan maka lebih banyak pengalaman diperolehi dan ini menjadikan seseorang Master Reiki itu lebih berwibawa. Kebiasaannya, seseorang yang bergelar Reiki Teacher lebih layak untuk mengajar dan memberi attunement reiki sesuai dengan gelarannya iaitu Reiki Teacher.

Attunement atau boleh diistilahkan empowerment ialah pemberian kemampuan atau kekuatan kepada seseorang agar mempunyai kemampuan untuk mengamalkan ilmu ini. Attunement juga bermaksud membuat penyelarasan agar diri seseorang itu selaras dengan energi reiki dan selalu terhubung dengan sumber reiki yang ada di alam semesta ini.

Badan manusia umpama saluran paip yang menyalurkan air. Jadi pengamal reiki adalah media saluran reiki yang masuk ke badannya melalui cakra mahkota dan keluar melalui cakra kedua tapak tangan kanan dan kiri. Sebagai penyalur reiki, badan pengamal reiki harus mampu menerima reiki dengan baik agar energi reiki ini dapat disalurkan ke diri sendiri atau kepada orang lain yang bertindak sebagai penerima. Pusat energi reiki dalam badan manusia disebut cakra. Terdapat 7 cakra utama didalam badan manusia. Cakra didalam badan manusia sebelum dia menjadi pengamal reiki harus dibersihkan, dibuka, diaktifkan dan diseimbangkan.

Bila urusan pembersihan telah selesai maka 7 cakra utama akan dibesarkan melebihi pembukaan pada asalnya. Selanjutnya energi reiki akan mengalir dalam saluran energi dalam badan pengamal reiki. Saluran energi tersebut dipanggil nadi atau meridian. Ketika proses attunement berlangsung Master Reiki atau Reiki Teacher juga menyeimbangkan dan membersihkan nadi dari tersumbat. Membersihkan sekaligus menyeimbangkan cakra adalah dengan menggunakan simbol khas attunement reiki yang telah diberikan pada Reiki Master atau Reiki Teacher.

Proses memberikan attunement adalah seperti seseorang sedang menyelaraskan frekuensi radio dengan sumber pemancar iaitu setelit. Ketika kita baru membeli radio, tentunya kita tidak dapat menggunakan radio tersebut kerana frekuensinya belum lagi diselaraskan. Kita terlebih dahulu perlu menyelaraskan frekuensinya supaya dia dapat digunakan, apabila frekuensinya telah diselaraskan barulah ia dapat digunakan. Begitulah juga dengan Reiki, seseorang itu perlu diselaraskan dahulu energinya agar dapat menerima energi reiki apabila diperlukan kelak.

Apabila seseorang itu telah mendapat attunement reiki maka kemampuan untuk mengakses energi reiki tidak akan hilang, ia kekal selama-lamanya, walaupun ia tidak pernah mengamalkan reiki untuk beberapa tahun lamanya. Apabila ia hendak menggunakan kembali energi reiki, ia hanya perlu mengaktifkan dengan niat dan menyalurkan energi reiki. Cuma apabila tidak menggunakan reiki dalam waktu yang lama, energi reiki ini tidak akan mengalir dengan lancar kerana saluran nadi mungkin tersumbat. Oleh itu pengamal reiki perlu selalu mengamalkan reiki agar energi dapat mengalir dengan lancar. Makin kerap diamalkan maka makin senanglah energi reiki untuk mengalir.

Menjadi pengamal reiki memang mudah namun untuk mengamalkan reiki secara berterusan agak susah bagi kebanyakan orang, jadi terpulang kepada pengamal reiki itu. Kalau diri kita menjadi sihat dengan izin Allah swt kerana mengamalkan reiki setiap hari, jadi tidak salah sekiranya kita selalu mengamalkan reiki dalam kehidupan sehari-hari.

No comments: